Kanak-Kanak boleh didedahkan kepada komputer daripada kecil lagi. Terdapat bukti penyelidikan yang menunjukkan kanak-kanak berumur dua tahun boleh mula didedahkan kepada komputer (Rohani, Sin, Cheah & Rosazizi, 2003; Webb dan Rowe, 1995). Menurut Dodge dan Colker (1988), penggunaan komputer di kalangan kanak-kanak berkembang dalam mengikut peringkat :
- Permainan Berfungsi
- Permainan sebab-musabab
- Permainan Berperaturan
Pada peringkat permainan berfungsi, kanak-kanak memerlukan banyak bantuan orang dewasa ketika mengguna komputer. Ketika ini, mereka meneroka, menguji dan mengenal ciri-ciri yang terdapat pada komputer. Ketika berdepan dengan komputer mereka akan tertarik dengan apa yang berlaku apabila mereka membuat sesuatu pada komputer. Mereka berpuas hati dengan tindak balas memerhati apa yang berlaku sekiranya bahagian daripada komputer disentuh. Pada peringkat ini, kanak-kanak boleh diajar berkenaan; bahagian komputer serta cara menggunakan komputer. Selain itu, mereka hendaklah diajar cara menggunakan komputer dengan betul dan selamat. Mereka boleh diajar ;
- Bersabar menunggu ketika membuka komputer, sehingga komputer sedia untuk digunakan
- Cara memegang disket ataupun CD
- Cara menyimpan disket ataupun CD supaya tidak rosak
Pada peringkat permainan sebab-musabab, kanak-kanak semakin kreatif dan banyak berfikir ketika menggunakan komputer. Misalnya, apabila mereka hidupkan komputer, komputer akan mula dengan mengeluarkan pelbagai bunyi dan lampu, apabila mereka tekan papan kekunci komputer ataupun klik tetikus, sesuatu akan terpapar di skrin monitor. Pada peringkat ini, mereka boleh didedahkan kepada perisian yang dapat membantu mereka mengoperasi program.
Pada peringkat permainan berperaturan, kanak-kanak sudah mahir mengawal fungsi bahagian komputer. Mereka juga dapat mengikut arahan, bertindak balas dan menyesuaikan penggunaan komputer mengikut keperluan perisian. Pada peringkat ini, mereka dapat menggunakan komputer sebagai alat permainan ataupun sumber maklumat.
No comments:
Post a Comment